Sebuah kapal yang sarat dengan
muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah
pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah
ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan
hampir tenggelam. Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul
ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia sahaja. Kesemua orang yang berada
di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal
dan diri mereka.
Ketika semua orang berada dalam
keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia
kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah S.W.T. Kemudian lelaki itu turun
dari kapal yang sedang terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan
mengerjakan solat di atas air.
Beberapa orang peniaga yang bersama-sama
dia dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata,
"Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki
itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para peniaga itu memanggil
lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"
Kemudian lelaki itu menoleh ke arah
orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa hal?" Seolah-olah lelaki
itu tidak mengetahui apa-apa. Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah,
tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam
ini?"
Wali itu berkata, "Dekatkan
dirimu kepada Allah."
Para penumpang itu berkata,
"Apa yang mesti kami buat?"
Wali Allah itu berkata,
"Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."
Kesemua mereka sanggup meninggalkan
harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian mereka berkata, "Wahai
wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua
selamat."
Wali Allah itu berkata lagi,
"Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah."
Dengan membaca Bismillah, maka
turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan meng hampiri wali Allah
yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama kemudian,
kapal yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu pun tenggelam ke dasar
laut.
Habislah kesemua barang-barang
perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa
yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang
tenggelam itu.
Salah seorang daripada peniaga itu berkata
lagi, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"
Wali Allah itu berkata, "Saya
adalah Awais Al-Qarni."
Peniaga itu berkata lagi,
"Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat
harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."
WaliAllah berkata, "Sekiranya
Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya
kepada orang-orang miskin di Madinah?"
Peniaga itu berkata, "Betul,
saya tidak akan menipu, ya wali Allah."
Setelah wali itu mendengar pengakuan
dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air,
kemudian dia memohon kepada Allah S.W.T agar kapal itu ditimbulkan semula
bersama-sama hartanya.
Tidak berapa lama kemudian, kapal
itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang
perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.
Setelah itu dinaikkan kesemua
penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju.
Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus
menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin
di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal. Wallahu alam.
No comments:
Post a Comment